Liga Super Malaysia Berita

JDT bawa masuk Camilo Sanvezzo, Daniel Amier

JDT akhirnya mengesahkan bahawa penyerang import Brazil, Diogo Luis Santo akan meninggalkan kelab tersebut sebaik sahaja tamat saingan Piala Malaysia pada bulan Nov ini.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kekosongan Diogo akan diisi oleh Camilo Sanvezzo, seorang lagi penyerang import dari Brazil bermula saingan Liga Malaysia musim depan.

“Diogo tinggalkan JDT dan akan pulang ke Thailand. Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada Diogo.

“Kami ada pengganti iaitu Camilo da Silva Sanvezzo dari Brazil. Saya tengok dia begitu lama tapi dua tahun lepas saya tak boleh tandatangan dia kerana agak mahal sikit, beyond our budget, jadi dia akan datang.

“Kami dah lama nak bawa masuk dia kerana sesuai dengan cara permainan JDT, tapi bajet kurang kena tunggu satu hingga dua tahun, saya bersabar dan alhamdulillah, kontraknya hampir selesai jadi kami dapat tandatangan dia.”

TMJ juga mengesahkan Daniel Amier sebagai pemain baru JDT selepas kontraknya bersama Felda United tamat pada musim ini dan menganggap pemain berusia 23 tahun itu mempunyai potensi yang besar dan dapat mengembangkan kariernya di JDT.

“Menjelang 1 Disember ini, Daniel Amier akan sertai JDT secara rasmi.

“Saya rasa dia ada potensi amat besar, masih muda dan banyak pendedahan boleh kita beri dan libatkan dalam skuad ACL tahun depan.

“Felda minta saya bayar RM1 juta masa dulu. Saya rasa tak masuk akal untuk pemain yang begitu muda dan kami tunggu sampai kontrak dia habis, dan itu apa yang saya buat.”

Pada masa sama, TMJ berkata beliau berminat untuk membawa masuk seorang lagi pemain tempatan, namun enggan mendedahkan namanya.

“Kemungkinan seorang lagi pemain tempatan, bukan dalam perbincangan tapi saya tengah tengok macam mana situasi tersebut.”

Selain itu, TMJ berkata hampir semua pemain dikekalkan untuk musim depan, dengan beberapa pemain JDTII akan diserap masuk ke pasukan utama.

“Dalam posisi lain seperti bahagian tengah dan serangan akan diserap pemain dari JDTII dan mereka akan ada dalam pasukan utama kerana saya yakin dan amat puas hati dengan prestasi pemain muda, mereka beraksi dengan baik berkembang dengan baik, jadi mereka diberi peluang di pasukan utama.

“Semua sekali akan dikekalkan, sama juga cuma akan ada pemain muda seperti Ramadhan, Arif Aiman, Feroz akan naik dan mungkin seorang pemain pertahanan kiri berusia 19 tahun dari JDTII, itu sahaja buat masa ini.

“Saya pun tak nak beli pemain ramai sangat sebab kestabilan pasukan adalah segala-galanya.”