Liga Super Malaysia Berita

FAM: Felda dan UKM sudah hantar dokumen, tapi…

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menafikan bahawa pihaknya memberi kelonggaran kepada Felda United dan UKM FC berhubung proses penswastaan kelab.

Sebaliknya, kedua-dua pasukan sebenarnya sudah menghantar segala dokumen dan melengkapkan proses penswastaan kelab sebelum 30 Sept.

Beliau berkata, FAM hanya meminta penjelasan mengenai dokumen yang dihantar dan tidak memberikan sebarang masa tambahan kepada kedua-dua pasukan itu.

“Semua 21 pasukan sudah memberi dokumentasi yang diperlukan, tetapi dua pasukan ini FAM memerlukan penjelasan membabitkan dokumentasi,” katanya kepada Harian Metro.

“Bukan mereka tak hantar, mereka sudah hantar tetapi selepas dokumentasi diperiksa oleh jawtankuasa, ada klarifikasi yang diperlukan oleh FAM.

“Kita tak bagi talian hayat, mereka sudah hantar, tapi maklumat yang diberikan kita perlukan penjelasan. Semua keputusan akan dimaklumkan pada sidang media Isnin ini.”

Felda dan UKM sebelum ini dilaporkan masih belum melengkapkan proses penswastaan kelab walaupun segala dokumen sudah dihantar kepada FAM.

Harian Metro turut melaporkan FAM memberi masa tambahan sehingga dua hari iaitu Khamis dan Jumaat untuk kedua-dua pasukan ini melengkapkan proses tersebut.

Ini setelah Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed mendedahkan bahawa pihaknya kurang berpuas hati dengan dokumen yang dihantar dua pasukan tersebut.