Liga Super Malaysia Berita

FAS guna nama Selangor FC bermula musim depan

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pihaknya akan menggunakan nama Selangor FC dalam saingan Liga Super bermula musim depan.

Beliau berkata, penggunaan nama itu adalah sekadar memenuhi syarat untuk melengkapkan proses penswastaan kelab.

Bagaimanapun, Selangor berancang untuk mengadakan proses penjenamaan pada masa akan datang.

“Kita akan terus gunakan nama Selangor FC sebagai nama rasmi dan mengekalkan The Red Giants sebagai nama gelaran pasukan Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

“Tidak banyak yang kita lakukan buat masa ini termasuk bagi proses penjenamaan, cukup sekadar memenuhi syarat.

“Pihak kami bercadang untuk melakukan proses penjenamaan ini dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.”

Johan juga mengesahkan Selangor akan menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya sepanjang musim 2021, memandangkan Stadium Shah Alam menjalani kerja-kerja baikpulih.

“Kelulusan menggunakan stadium berkenaan telah diperolehi daripada pihak MBPJ. Bagaimanapun, kami masih belum dapat mengesahkan gelanggang rasmi bagi skuad Selangor 2 buat masa ini.

“Lagipun, kita sendiri tidak tahu bilakah Selangor akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam kerana difahamkan kerja-kerja pembaikan di stadium berkenaan bukan hanya melibatkan bumbung, tetapi turut melibatkan infrastruktur.”