Liga Super Malaysia Berita

Proses penswastaan: 12 pasukan lengkap, 6 pasukan dalam proses, 3 pasukan baru mula

Sebanyak 12 daripada 24 pasukan Liga Malaysia sudah melengkapkan penswastaan kelab, termasuk proses pemisahan dari persatuan bolasepak (FA) ke kelab (FC).

Pasukan-pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta’zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Enam pasukan masih dalam proses ialah Selangor, Kelantan dan Felda United FC yang sudah dalam peringkat akhir proses manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah dalam peringkat pertengahan proses.

Tiga lagi pasukan iaitu PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan FC.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata surat peringatan terakhir telah pun dihantar kepada pasukan-pasukan yang masih dalam proses.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan yang berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2021.

“Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC ini.

“FAM sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir tersebut,” katanya.