La Liga Berita

Lionel Messi tak datang sesi latihan Barcelona

Buat pertama kalinya, Lionel Messi tidak datang sesi latihan pra-musim pertama Barcelona, dan ia bukan disebabkan kecederaan.

Ini selepas pemain Argentina berusia 33 tahun itu menyatakan hasrat mahu meninggalkan kelab gergasi Sepanyol.

Rakaman televisyen Reuters menunjukkan pemain tiba untuk sesi latihan yang bermula pada 5.30 petang waktu tempatan namun Messi langsung tidak muncul.

Kegagalan Messi untuk tampil dalam sesi latihan dibawah jurulatih baharu, Ronald Koeman sudah tentu mengecewakan peminat Barcelona, setelah gagal muncul untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pra-musim pada hari Ahad.

Messi menerusi peguamnya tetap menegaskan bahawa beliau mempunyai hak untuk meninggalkan kelab itu serta-merta berdasarkan klausa dalam kontrak yang ditandatangani olehnya pada 2017, yang membolehkan beliau meninggalkan kelab secara percuma pada 10 Jun.

Walaupun Messi tidak mengaktifkan klausa itu pada hari tersebut, peguamnya berpendapat tarikh itu tidak lagi relevan setelah wabak COVID-19 memaksa musim La Liga ditamatkan pada 19 Julai.

Namun, La Liga mengatakan bahawa satu-satunya cara sebuah kelab dapat menandatangani Messi adalah jika kelab itu mengaktifkan klausa pelepasan 700 juta euro ($ 836 juta).

Penyokong yang hadir menyaksikan di luar padang sesi latihan Barcelona meluahkan rasa sedih terhadap situasi Messi.

“Saya benar-benar mahu Messi kekal di sini,” kata Fabio Alfredo Suarez dari Brazil kepada Reuters.

“Messi berada di hati saya – sayang sekali jika dia pergi, kalau pergi sekalipun saya mahu dia pergi melalui pintu depan kelab ini.”