Liga Super Malaysia Berita

FAM: 4 pasukan Liga Malaysia gagal lengkapkan proses pelesenan kelab

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan terdapat empat pasukan Liga Malaysia iaitu dua daripada Liga Super dan dua daripada Liga Perdana masih gagal melengkapkan proses pelesenan kelab.

Ia selepas tempoh untuk mendapatkan lesen kelab berakhir pada 31 Ogos lalu.

Namun, Stuart tidak terlalu bimbang walaupun keempat-empat pasukan itu gagal mengemukakan dokumen kewangan.

”Semua sudah hantar, cuma ada empat pasukan yang belum lengkap,” katanya kepada Harian Metro.

“Kami memahami masalah dihadapi kerana dokumen itu membabitkan pihak ketiga.”

Bagaimanapun, Stuart menegaskan FAM tidak akan melanjutkan lagi tempoh tersebut kerana sudah memberikan masa yang mencukupi sebelum ini.

”Tarikh akhir sudah berlalu dan tiada tempoh lanjutan diberikan. Tetapi 15 September adalah tarikh akhir untuk dokumentasi kewangan.

”Jadi keputusan secara menyeluruh akan dibuat oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM. Kalau ada pasukan yang hantar lewat, keputusan akan dibuat FIB selaku jawatankuasa bebas.”

Selepas ini, semua pasukan Liga Malaysia perlu melengkapkan proses penswastaan kelab dan pemisahan persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) sebelum atau pada 30 September ini.