Liga Super Malaysia Berita

FAM akui persatuan bolasepak negeri penghalang kepada perkembangan bolasepak negara

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui persatuan bolasepak negeri sering menjadi penghalang kepada kemajuan pasukan Liga Malaysia.

Beliau memberi contoh bagaimana setiap kali berlaku pertukaran barisan kepimpinan dalam persatuan, ia merencatkan perkembangan dan hala tuju pasukan sedangkan perkara itu tidak berlaku di negara lain.

Justeru, Hamidin menganggap proses penswastaan FA ke FC wajar dilakukan segera demi perkembangan bolasepak di masa akan datang.

“Ada sebahagian pasukan yang menjalankan proses penswastaan dengan baik namun ada juga yang perlahan,” katanya kepada Harian Metro.

“Alasannya adalah peletakan jawatan setiausaha, perubahan pucuk pimpinan dan pertukaran individu sekali gus menunjukkan masalah ini hanya berlaku di Malaysia sahaja.

“Saya pernah bertanya kepada Persatuan Bolasepak Vietnam dan Thailand, mereka kata mereka tidak menghadapi masalah sedemikian kerana apabila tukar kepimpinan, kelab tetap berjalan seperti biasa.

“Oleh itu, perubahan daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak mungkin boleh menyelesaikan masalah itu.”

Tempoh akhir untuk mendapatkan lesen kelab adalah pada 31 Ogos manakala tempoh akhir untuk melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC adalah pada 30 September ini.