Liga Super Malaysia Berita

Program akar umbi Selangor terima pengiktirafan

Program pembangunan bola sepak akar umbi yang dikelolakan oleh FA Selangor, FAS Soccer School menerima pengiktirafan FAM menerusi Piagam SupaRimau berstatus emas.

Ini bermakna Selangor menjadi pasukan kedua yang menerima pengiktirafan tersebut selepas akademi bolasepak JDT.

“FA Selangor berterima kasih kepada FAM di atas pengiktirafan ini,” menurut FAS dalam kenyataan.

“Ini merupakan salah satu pengukuhan kepada program pembangunan bola sepak akar umbi.

“Piagam ini juga bakal menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk program-program pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara, khususnya di negeri Selangor.

“Usaha FAM untuk melancarkan program Piagam SupaRimau bagi menaikkan martabat dan pemerkasaan akademi-akademi bola sepak akar umbi di seluruh negara selayaknya diberi pujian kerana ia bukan sahaja meletakkan penanda aras baharu kepada program pembangunan sedia ada, malah turut mewujudkan satu ekosistem bola sepak yang lebih sistematik dan dinamik.

‘Kewujudan piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi, membawa ke tahap yang lebih tinggi dan lebih sistematik, seterusnya membawa lebih banyak manfaat kepada komuniti bola sepak secara umumnya.”

FAS Soccer School merupakan program akar umbi yang menitikberatkan pengenalan kepada pembangunan bola sepak.

Ia menyasarkan kanak-kanak sekolah rendah di seluruh negeri Selangor yang berumur 7 hingga 12 tahun.

Program FAS Soccer School juga adalah program jangka masa panjang untuk melahirkan individu holistik melalui perkembangan fizikal, mental dan pembangunan sosial yang positif melalui pendekatan bola sepak.

“Akademi-akademi bola sepak yang wujud di seluruh negeri Selangor juga telah menunjukkan minat dan memberikan respon yang positif untuk turut terlibat dalam program ini dan dijangka lebih banyak penerima piagam ini akan muncul di negeri ini.”