Liga Super Malaysia Berita

AFC: FAM perlu lebih tegas terhadap proses FA ke FC

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John menggesa FAM supaya bersikap lebih tegas berhubung proses penswastaan dan pertukaran status persatuan bolasepak kepada kelab bolasepak.

Ini selepas hanya lima pasukan yang sudah melengkapkan proses tersebut, manakala selebihnya masih menyelesaikannya, walaupun tarikh tutup semakin dekat iaitu pada 30 Sept.

Windsor berpandangan, pasukan Liga Malaysia sudah banyak kali diberikan kelonggaran dan tempoh masa yang panjang namun masih ada yang belum melengkapkan proses penswastaan yang dianggap cukup penting.

Malah, beliau mendedahkan bahawa AFC sejak 2017 sudah memberikan lanjutan selama tiga tahun kepada FAM untuk melengkapkan proses itu.

“Jika pasukan Liga Malaysia gagal mematuhi tarikh akhir pada 30 September ini untuk menukar status daripada FA kepada FC, FAM yang perlu menanggung malu,” katanya ketika hadir dalam rancangan Bola@Mamak di Astro Arena.

“Kalau tidak boleh buat perubahan ini, pada tahun 2021, pelesenan daripada FAM tidak akan diiktiraf oleh AFC.

“Jadi, sekiranya juara liga tahun ini mahu bermain di peringkat AFC, mereka perlu memohon lesen secara langsung daripada AFC dan tidak melalui FAM.

“Ia satu perkara yang tidak bagus untuk FAM.”