CEO MFL, Datuk Abd Ghani Hassan menolak tanggapan bahawa Program Kawalan Ekonomi (ECP) adalah gagal, meskipun beberapa pasukan Liga Malaysia berdepan masalah kewangan yang meruncing.
Beliau sebaliknya menganggap program yang diperkenalkan tahun lalu itu tidak dapat dilakukan dengan lancar pada musim ini disebabkan penularan wabak COVID-19.
Malah, Ghani percaya program ECP akan kembali kepada landasannya setelah semua pasukan Liga Malaysia melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan pada musim ini.
“Apabila status FA ditukar kepada FC, ia sebagai satu petanda yang baik kerana pengurusannya berbeza yang berlandaskan profesional, mereka mempunyai jentera tersendiri,” katanya kepada Astro Arena.
“Kami memberi tempoh kepada semua pasukan agar menghantar surat jaminan daripada penaja-penaja kepada FAM sebelum 31 Mac lalu bagi memastikan jumlah penajaannya adalah sama.
“Malangnya COVID-19 melanda pada Mac lalu dan semuanya berubah.”
Setakat ini, pasukan Kedah berdepan dengan hutang RM10.6 juta setelah lima bulan tidak membayar gaji pemain dan kakitangan.
Kelantan pula masih bergelut untuk mencari sumber pendapatan baharu selepas penaja utama After Image Sdn Bhd menarik diri, selain berdepan dengan tiga kes FIFA, serta beberapa kes tuntutan gaji dari bekas pemain seperti Badhri Radzi dan Amiridzwan Taj.
Pasukan Pantai Timur itu juga kehilangan pemain import Kang Seung-jo yang membuat keputusan untuk kembali ke negara asalnya Korea Selatan dan menyertai Gyeongnam FC.
Melaka United juga berdepan dengan masalah kewangan dan masih lagi dalam proses untuk membayar gaji bulan Mac dan April, selepas kehilangan pemain import dari Thailand, Naruphon Putsorn.