Liga Super Malaysia Berita

Kelantan, Sarawak United sudah boleh berlatih

MFL mengesahkan bahawa Kelantan FA dan Sarawak United sudah dibenarkan mengadakan sesi latihan.

Ini bermakna kesemua pasukan sudah mendapat kelulusan untuk berlatih menjelang saingan Liga Malaysia yang akan disambung pada 26 Ogos.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kedua-dua pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu sudah melengkapkan kesemua dokumen permohonan seperti ditetapkan.

“Sebenarnya pihak pengurusan kedua-dua pasukan terbabit sudah pun menghantar borang permohonan masing-masing sebelum ini, namun MFL tidak dapat meluluskannya disebabkan masih terdapat beberapa perkara yang tidak lengkap,” katanya kepada Sinar Harian.

“Jadi apabila mereka menghantar semula permohonan baharu yang lengkap dan setelah kami semak serta dapati semua mengikut yang diarahkan, tidak menjadi masalah untuk MFL meluluskannya.”

Pada masa sama, Ghani menasihatkan semua pasukan supaya mematuhi SOP sedia ada.

“Saya minta semua pemain, jurulatih, pengurus dan pegawai pasukan Liga-M, jangan pecahkan tradisi latihan fasa 1 sebelum ini, sebaliknya kekalkan tahap disiplin tinggi sedia ada pada fasa 2.

“Tingkatkan tahap disiplin dalam pematuhan SOP tidak hanya di padang tetapi juga di luar padang. Kita kena bersama-sama menjaga keselamatan dan kesihatan walau di mana saja kita berada.”