Liga Super Malaysia Berita

MFL: Tiada perubahan kepada jadual Liga Malaysia

MFL mengesahkan keputusan untuk membenarkan pertandingan Liga Malaysia kekal seperti biasa.

Ini selepas CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berhubung dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Beliau mengesahkan keputusan MKN dan Kementerian Kesihatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri sebelum ini untuk membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos.

Justeru, Ghani menegaskan Liga Malaysia yang dijadualkan bersambung pada 26 Ogos 2020 adalah mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Keputusan untuk menyambung semula Liga Malaysia seperti dirancangkan adalah kekal, tiada perubahan setakat ini di mana semua pasukan Liga Malaysia kini sedang giat melakukan persiapan rapi,” katanya dalam satu kenyataan.

Liga Malaysia akan kembali bersambung pada 26 Ogos dengan aksi serentak CIMB Liga Super dan Liga Premier manakala saingan TM Piala Malaysia akan bermula pada 17-18 Oktober depan.

Perlawanan tertunda akan diadakan terlebih iaitu aksi CIMB Liga Super antara PJ City FC dengan Terengganu serta perlawanan Liga Premier antara UKM FC bertemu Kelantan pada 22 Ogos 2020.

Ghani bagaimanapun mengingatkan kepada pemain, pegawai dan semua pihak yang terlibat mengikuti SOP serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan Fasa 1.

Beliau optimis dengan mematuhi arahan SOP dan menuntut disiplin tinggi daripada semua pihak untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 adalah selaras dengan saranan kerajaan sebagai usaha untuk mencegah penularan wabak COVID-19.