Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin: Ada dua pemain boleh ganti Azmeer Yusof

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mendedahkan beliau sudah bersedia untuk memberi peluang kepada pemain lain di bahagian pertahanan kiri dalam kesebelasan utama.

Ini selepas Azmeer Yusof membuat keputusan untuk meninggalkan Kedah musim ini dan berhenti seketika dari dunia bolasepak.

“Saya menghormati keputusan Azmeer tetapi pasukan akan tetap bergerak seperti biasa kerana kita ada pemain-pemain lain seperti Shakir Hamzah, Alif Yusof yang boleh beraksi di posisi pertahanan kiri,” katanya kepada Sinar Harian.

“Insya-Allah, Kedah masih mampu berjuang dalam tujuh perlawanan terakhir walaupun tanpa kehadiran Azmeer. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Azmeer atas sumbangannya.”

Pada masa sama, Aidil tidak terlalu bimbang dengan kehilangan pemain walaupun Azmeer menampilkan prestasi baik pada musim ini.

“Tidak ada pemain lebih besar daripada pasukan. Saya sama sekali tidak akan menoleh ke belakang.

“Memang benar Azmeer telah banyak membantu pasukan sebelum ini, tetapi bukan seorang pemain yang buatkan pasukan menang, ia hasil kerjasama semua pemain.”