Liga Premier Malaysia Berita

KAFA sibuk isu tunggakan gaji, Kelantan belum ada tarikh sesi latihan

Jurulatih Kelantan FA, Yusri Che Lah mendedahkan majikannya KAFA sedang sibuk menyelesaikan soal tunggakan gaji pemain dan masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk adakan sesi latihan.

Beliau berkata, barisan pemain dan jurulatih terpaksa menunggu dan tidak dapat menjalankan sesi latihan, walaupun beberapa pasukan Liga Malaysia sudah mula berlatih sejak minggu lepas.

“Kami telah berbincang melalui telefon dan masih belum dapat jawapan sebaik mungkin kerana apa yang berlaku dalam majikan itu mungkin rumit dan saya tidak tahu kesemuanya,” katanya kepada Sinar Harian.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya, pihak pengurusan sedang cuba cara terbaik untuk menyelesaikan masalah hutang tunggakan gaji bekas pemain selepas penarikan diri rakan penaja baru-baru ini.”

Bagaimanapun, Yusri tidak kisah walaupun latihan disambung lebih lewat.

“Kami tiada masalah kerana masih ada masa yang cukup panjang untuk berlatih dan menyiapkan pasukan sekiranya liga bersambung September.

“Apa yang lebih penting adalah pihak pengurusan dapat menyelesaikan dahulu masalah hutang sebelum 30 Jun ini bagi mengelakkan pasukan dikenakan hukuman.”