Berita Asia Tenggara

AFF pertimbang anjurkan majlis undian Piala AFF Suzuki 2020 di Vietnam

Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengadakan majlis undian Piala AFF Suzuki bagi edisi 2020 di Vietnam.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan AFF, Tran Quoc Tuan berkata cadangan itu dipertimbangkan kerana Vietnam merupakan satu-satunya negara ASEAN yang berjaya mengawal wabak COVID-19 dengan berkesan berbanding negara-negara lain.

Disebabkan itu, Vietnam menjadi negara pertama ASEAN kembali meneruskan saingan liga iaitu pada 5 Jun malah membenarkan penyokong menyaksikan perlawanan di stadium.

Tran yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) berkata pihak VFF sudah bersedia untuk menganjurkannya.

“Dengan keadaan yang baik dalam soal kawalan dan pencegahan wabak, VFF sudah bersedia untuk menganjurkan majlis undian Piala AFF Suzuki 2020 jika mendapat kebenaran daripada kerajaan dan semua pihak terlibat,” katanya seperti dilaporkan oleh surat khabar rasmi kerajaan Vietnam.

Kebiasaannya, majlis undian Piala AFF Suzuki diadakan di Malaysia.

Pada masa sama, AFF mengesahkan tarikh Piala AFF Suzuki 2020 tidak berubah dan akan diteruskan seperti dijadualkan iaitu bermula 23 November dan perlawanan akhir diadakan pada 31 Disember.

Selain isu majlis undian, Tran turut mencadangkan senarai pemain awal ditambah daripada 50 pemain kepada 70 pemain, dengan senarai pendaftaran rasmi ditambah daripada 23 kepada 30 pemain dan senarai akhir ditambah daripada 20 kepada 23 pemain.

Penambahan itu dicadangkan dengan syarat AFF menggunakan peraturan baharu FIFA yang kini membenarkan setiap pasukan untuk membuat lima pertukaran pemain dalam satu-satu perlawanan berbanding tiga bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19.

Kesemua cadangan Jawatankuasa Pertandingan AFF akan dipertimbangkan dalam mesyuarat Majlis AFF pada 16 Jun ini.

Selain Piala AFF Suzuki, pihak jawatankuasa juga menetapkan bahawa Piala Kelab Futsal AFF akan diadakan pada 2-7 Disember manakala Piala Futsal AFF untuk skuad kebangsaan dijadualkan semula dan akan berlangsung pada 25-31 Januari, 2021.

Kedua-dua kejohanan futsal itu akan dianjurkan di Thailand.