Futsal Berita

Kecewa Liga Futsal batal musim ini

Rata-rata pemain dan jurulatih kecewa apabila Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dibatalkan serta-merta musim ini.

Jurulatih pasukan futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya walaupun FAM telah memberikan penjelasan terhadap keputusan tersebut.

“Memang saya kecewa dan terkilan dengan keputusan FAM yang membatalkan kejohanan, begitu juga dengan anak buah saya yang boleh dikatakan setiap hari menanti dengan penuh sabar berita berkaitan tarikh baharu kejohanan,” katanya kepada BH Sukan.

“Ada enam pemain yang pertama kali menyarung jersi pasukan musim ini, mereka begitu teruja untuk beraksi membantu pasukan meraih sekurang-kurangnya tiga kelompok teratas liga seperti musim lalu.

“Sebelum ini FAM pun mahu mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyambung semula liga seperti Liga Malaysia dan keadaan ini sudah pasti melegakan semua lebih-lebih lagi kejohanan ini berlangsung dalam dewan dengan hanya lima pemain beraksi bagi sebuah pasukan.

“Namun dengan perkembangan terkini, kami perlu terima hakikat soal keselamatan semua perlu menjadi keutamaan, situasi ini juga saya sudah maklumkan kepada pemain.”

Apa yang paling membimbangkan, pembatalan musim 2020 juga berkemungkinan akan menyebabkan pemain dan jurulatih pasukan futsal kehilangan kerja dan terpaksa menunggu lebih enam bulan sebelum liga bersambung pada tahun hadapan.