Liga Super Malaysia Berita

MB baharu janji jaga kebajikan pasukan Kedah

Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor berjanji akan membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pasukan dan tidak akan mengabaikan kebajikan para pemain.

Katanya, beliau berjanji akan membuat pertemuan dengan pengurusan KFA yang dijangka berlaku selepas raya, bagi mengetahui kedudukan kewangan pasukan.

“Saya hanya mengetahui mengenai tunggakan gaji pemain menerusi media sahaja, saya difahamkan berlaku masalah gaji kerana kekangan kewangan,” katanya kepada Arena Metro.

“Tapi saya akan berjumpa segera pengurusan KFA untuk dapat kedudukan sebenar.

“Namun saya harap pemain dapat sambut Aidilfitri dengan gembira.”

Peruntukan RM2 juta sudah pun diluluskan untuk membayar gaji pemain bulan Februari, namun pentadbiran baharu perlu melangsaikan hutang gaji bagi bulan April dan Mei.