Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United dapat ‘duit raya’ RM30,000

Di sebalik masalah pendapatan yang dihadapi semua pasukan Liga Malaysia musim ini akibat wabak COVID-19, Kelantan United mendapat duit raya daripada Amateur Football League (AFL) iaitu wang kemenangan sebanyak RM30,000 setelah menjadi juara Liga M3 musim lepas.

Menurut Setiausaha Eksekutif, Wan Mohd Zul Ikman, ganjaran itu telah diagihkan secara sama rata kepada semua, termasuk pemain yang meninggalkan pasukan pada musim lepas.

“Inilah hasil yang kita tuai atas kerja keras semua pihak dan kami mengambil keputusan mengagihkan kepada pemain dan pegawai yang berhak tanpa tercicir walau seorang pun”, jelasnya kepada pihak media kelab.

Zul Ikman juga berharap insentif itu akan membawa kelab terus mengecap kejayaan pada musim ini sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan tertinggi dalam saingan Liga Malaysia.

Ganjaran itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban Kelantan United yang kini bersaing di Liga Perdana, tatkala liga masih lagi ditangguhkan.