Malaysia Berita

COVID-19: Tan Cheng Hoe akui terpaksa nilai semula pemain

Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe merancang untuk mengekalkan sebahagian besar pemain utama dalam skuad negara namun mengakui akan menilai semula perkembangan pemain di Liga Malaysia setelah liga ditangguhkan sekian lama akibat penularan wabak COVID-19.

Kali terakhir pasukan kebangsaan beraksi dan berlatih bersama adalah pada bulan November tahun lalu ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Berikutan sudah lama mereka tidak dikumpulkan dengan kali terakhir iaitu pada November tahun lalu, saya harap mereka semua masih ada persefahaman yang baik antara satu sama lain.

“Perkara itu juga menjadi sebab kenapa saya rancang kekalkan ramai pemain utama demi mudahkan perancangan.

“Namun saya masih melihat mana-mana pemain lain yang beraksi dengan baik dan tetap berpeluang untuk diserapkan, ini juga salah satu kebaikan bila liga kita kembali bersambung iaitu saya boleh nilai prestasi mereka yang terkini,” katanya.

Disebabkan itu, Cheng Hoe meletakkan harapan tinggi agar Liga Malaysia dapat bersambung semula pada September depan supaya pasukan dapat meningkatkan semula kecergasan dan menemui semula rentak permainan.

“Jika liga dapat bermula pada September ini, pemain sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka bersedia sepanjang tempoh beberapa bulan ini daripada sekadar melakukan latihan sendirian di rumah.

“Pemain juga dapat mencari kembali sentuhan mereka dalam soal fizikal dan kecergasan bersama pasukan masing-masing sebelum sertai pasukan kebangsaan.

“Sudah tentu saya harap liga tidak dibatalkan demi memastikan pemain-pemain berada di tahap terbaik terutama soal fizikal dan stamina walaupun soal kesihatan adalah paling utama kerana penularan wabak COVID-19 sukar untuk diramal.

“Namun jika ia terjadi, sukar buat saya merencanakan persiapan pasukan kerana pemain belum bersedia sepenuhnya tetapi sebagai jurulatih,saya kena bersedia apa sahaja untuk hadapi situasi sebegini,” katanya.

FAM sudah merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Bahrain pada 3 Oktober di Manama, Bahrain.

Dalam pusingan kelayakan, skuad Harimau Malaya dijadualkan abertemu Emiriah Arab Bersatu ( UAE) pada 8 Oktober di Dubai dan Vietnam pada 13 Oktober di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun situasi di Vietnam dan UAE ternyata lebih baik berikutan penularan wabak COVID 19 yang semakin terkawal apabila Vietnam dijangka akan memulakan liga tempatan pada Jun manakala UAE pada Ogos sementara Thailand juga akan bermula pada September, sama seperti Malaysia.