Liga Super Malaysia Berita

Liga Super separuh musim, PDRM harap tiada penyingkiran

Ketua jurulatih skuad PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad berharap tiada penyingkiran dibuat pada musim ini, selepas MFL hanya merancang untuk menghabiskan satu pusingan Liga Super sahaja pada bulan September ini.

Katanya, ia tidak adil untuk pasukan seperti PDRM yang terpaksa bertungkus-lumus memenangi kesemua baki tujuh perlawanan setelah menghuni kedudukan terbawah liga, selepas dipotong mata akibat gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

“Status sama ada dua pasukan tercorot Liga Super diturunkan ke Liga Perdana pada musim depan ini yang bermain di fikiran kami memandangkan Liga M disambung separuh liga sahaja,” katanya kepada Arena Metro.

“Ini bermakna pasukan seperti kami yang memulakan liga dengan pemotongan tiga mata tentu kena tempias, lagipun pasukan The Corp sekarang menghuni tangga terbawah liga dengan negatif dua mata selepas empat perlawanan.

“Kami harap badan induk bola sepak negara memperincikan dan memperhalusi situasi itu sebaiknya, mungkin saingan Liga Super tahun ini tiada penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan.”