Liga M3 Berita

Apakah nasib Liga M3 musim ini?

Pengurus Pasukan Langkawi City FC Mohd Noor Mohd Amin mengakui bimbang dengan status Liga M3.

Katanya, kebanyakan pasukan liga amatur tidak mempunyai dana yang besar dan sememangnya terkesan dengan penangguhan liga akibat penularan wabak COVID-19.

“Ini memang di luar jangkaan kita semua dan boleh memberi kesan negatif khususnya pembayaran gaji pemain dan pegawai kerana kebanyakan pasukan Liga M3 adalah pasukan kecil dan berisiko besar menghadapi masalah kewangan,” katanya kepada Arena Metro.

“Kebanyakan pasukan Liga M3 juga bergantung kepada sumber daripada pihak penaja masing-masing yang turut terkesan dalam ekonomi pada masa ini.

“Seandainya selepas PKP tamat dan perlawanan masih tidak dapat dapat diteruskan, saya mencadangkan agar FAM dan MFL membatalkan Liga M3 tahun ini.

“Namun jika cadangan FAM dan MFL untuk memulakan liga pada September diluluskan kerajaan, kelab kecil seperti kami dalam Liga M3 perlulah membuat perancangan lebih awal untuk memastikan semua aspek terutama kewangan dan gaji dapat dirancang dan diuruskan dengan baik.”

MFL hanya merancang untuk Liga Super, Premier dan Piala Malaysia setakat ini kerana menganggap Liga M3 kelolaan Amateur Football League (AFL) berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk meneruskan musim ini.

“Saya yakin FAM dan MFL akan tampil dengan cadangan terbaik mereka kepada pihak kerajaan selepas melihat setiap aspek yang tidak akan memudaratkan semua pihak,” kata Mohd Noor.

“Hanya doa dan harapan, mudah-mudahan virus bahaya ini akan berakhir supaya dapat kembali pulih seperti sediakala.”