Liga Super Malaysia Berita

Nasib Liga Malaysia: Sambung atau batal?

FAM dan MFL dilaporkan sudah mendapat tahu keputusan kerajaan mengenai status perjalanan saingan Liga Malaysia pada musim ini selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan semalam.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican yang memaklumkan keputusan tersebut kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

 

Bagaimanapun status saingan Liga Malaysia musim ini tidak didedahkan. Kemungkinan FAM dan MFL akan mengumumkan keputusan mereka kelak, berdasarkan nasihat kerajaan.

Semalam, Ismail Sabri mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan rasmi daripada FAM bagi mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi, bagi membolehkan saingan liga diteruskan.