Kemahiran Fauzi Roslan menghasilkan stimbot memberikan peluang untuknya menjual kepada orang ramai sempena bulan Ramadan, sebagai sumber pendapatan sampingan.
Malah, masakan stimbot pemain Sarawak United berusia 32 tahun itu sememangnya dikenali di kampung kelahirannya di Pekan, Pahang.
“Stimbot ini dikenali FZ 19 Kawan Budak Pekan kerana sinonim dengan nombor jersi dan saya sebagai orang kelahiran Pekan, Pahang,” katanya kepada Arena Metro.
“Bagi penduduk di sekitar Pekan, mereka sudah biasa menikmati stimbot ini kerana saya pernah menjualnya jika mempunyai masa terluang dan jika berada di Pekan.”
Fauzi mula menjual stimbot sejak 1 Ramadan lalu dan akan mengambil antara 20 hingga 25 tempahan sehari pada harga antara RM15, RM30 dan RM50, bergantung kepada tempahan yang diterima daripada pelanggan.
Katanya, tempahan akan diterima setakat jam 11 pagi pada setiap hari kerana perlu menyediakan stimbot dan kuah, manakala penghantaran makanan akan bermula jam 3 petang hingga jam 6.30 petang di bandar Pekan dan Peramu Jaya.
“Saya berterima kasih kepada pelanggan yang sudi menempah ketika semua bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”
Fauzi bagaimanapun tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai pemain, disebabkan itu dia membuat jualan stimbot pada waktu siang, latihan kecergasan pula dilakukan di sebelah malam.
“Setakat ini, saya berpuas hati dengan corak latihan dilakukan terutama yang diberikan pasukan dalam mengekalkan stamina.”