Liga Super Malaysia Berita

Stadium PJ City sudah boleh digunakan

Selepas terpaksa menangguhkan perlawanan Liga Super menentang Terengganu dua minggu lepas, pasukan PJ City kini boleh menggunakan Stadium MBPJ di Kelana Jaya selepas proses baik pulih siap sepenuhnya.

Pengurus PJ City, K Rajan bagaimanapun menjelaskan pihaknya perlu mendapatkan kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama ada stadium itu memenuhi kriteria ditetapkan untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Proses baik pulih sudah siap dan sekarang kini hanya menunggu MFL melakukan pemeriksaan selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada BH Sukan.

“Kami akui agak lewat untuk selesai proses baik pulih, namun masalah terbabit sudah diatasi oleh pihak kontraktor dengan melakukan penambahbaikan di kawasan padang dan trek.”

PJ City berdepan kesukaran apabila MFL melarang pasukan itu daripada menggunakan Stadium MBPJ buat sementara waktu kerana proses baik pulih masih belum di tahap memuaskan.

Mereka diarah untuk mencari gelanggang alternatif namun gagal melakukannya sehingga meminta MFL untuk menunda perlawanan menentang Terengganu.

PJ City tetap berdepan hukuman disebabkan gagal menyediakan gelanggang alternatif dalam tempoh yang ditetapkan.