Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mempertahankan tindakan mendaftarkan Luqman Hakim Shamsudin sebagai pemain Selangor II.
Katanya, dalam keadaan pemain berusia 18 tahun itu tidak dapat ke Eropah disebabkan penularan COVID-19, Selangor akan memastikan Luqman berada pada tahap kecergasan yang ideal.
“Kita sanggup buat apa saja demi kebaikan karier Luqman,” katanya kepada Arena Metro.
“Memandangkan dia tak dapat pergi ke Eropah atas faktor keselamatan dan kesihatan, FAS sudah mendaftarkan namanya sebagai pemain Selangor II.
“Sekiranya liga kita sudah bersambung balik tapi di Belgium tidak, maka Luqman boleh bermain dan menyarung jersi Selangor II dalam mana-mana perlawanan.
“Kita nak pastikan dia dapat minit permainan dan mengekalkan kecergasannya di tahap terbaik dan apabila tiba masa untuk dia ke Belgium, kita terbuka untuk membenarkan dia pergi.”
Kata Johan lagi, Luqman akan meraih pengalaman berguna di saingan Liga Perdana.
“Kita boleh lihat berapa ramai sahaja pemain umur 18 dapat beraksi di Liga Perdana. Ini kesempatan terbaik buat Luqman bersaing dengan pemain lebih senior sekali gus meraih sesuatu yang baharu.”