Liga Super Malaysia Berita

Luqman Hakim terpaksa sertai Selangor II

Disebabkan wabak COVID-19 sedang berleluasa di seluruh dunia, Luqman Hakim Shamsudin tidak dapat menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk dan terpaksa berdaftar dengan Selangor secara rasmi untuk tempoh enam bulan.

“Difahamkan nama Luqman disenaraikan dalam skuad Selangor II pada hari terakhir jendela pemain liga (Liga Malaysia) ditutup,” kata sumber kepada Arena Metro.

“Ini bermakna Luqman sekarang adalah pemain Selangor II dan bila liga mula balik, dia boleh beraksi untuk pasukan dalam Liga Perdana.

“Keputusan saat akhir ini sebab FAS tak mahu Luqman hilang minit permainan dan tak tahu lagi bila dia akan ke Belgium lagi. Jadi lepas isu Covid-19 reda dia boleh pergi Eropah.”

Pemain berusia 18 tahun itu sepatutnya terbang ke Cardiff City hujung tahun lalu namun disebabkan isu visa dan kemudiannya wabak koronavirus, Luqman menjalani latihan bersama pasukan Selangor II bagi mengekalkan tahap kecergasannya.