Selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super, JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan mengumpul 10 mata.
Namun ada segelintir penyokong JDT masih kurang berpuas hati dengan prestasi pasukan.
Di sebalik keputusan musim ini, JDT hanya mencatatkan kemenangan tipis dalam tiga perlawanan iaitu 1-0 ke atas Kedah, 1-0 ke atas PDRM, 2-1 ke atas UiTM sebelum seri 1-1 dengan Felda United.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaimanapun tampil mempertahankan prestasi pasukan JDT musim ini menerusi catatannya di Johor Southern Tigers.
“Saya mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap apa yang berlaku di JDT,” katanya.
“Saya telah menetapkan standard yang begitu tinggi – memenangi 15 trofi dalam tempoh tujuh tahun – dan harapan terhadap JDT juga sangat tinggi.
“Penyokong menganggap keputusan seri sebagai kekalahan manakala kekalahan pula diibarat sebagai tragedi tetapi kita harus menerima hakikat bahawa ada pasang surut dalam kehidupan. Ada masa indah dan sebaliknya, di atas dan juga di bawah. Itulah lumrah kehidupan.
“Kita juga harus memahami bahawa para pemain bukanlah mesin. Kita harus menghargai dan menilai apa yang telah mereka lakukan kerana walau apa pun, mereka telah memberikan kita banyak kejayaan. Sebagai contoh, kita telah memenangi tiga trofi tahun lepas dan memenangi Piala Sumbangsih pada permulaan musim ini.
“Saya dapat lihat yang para pemain sedikit keletihan oleh kerana jadual yang padat. Kita mempunyai lebih perlawanan berbanding pasukan lain kerana kita juga beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC. Saya tetap yakin mereka semua akan bangkit.
“Walau apapun, saya sentiasa dibelakang para pemain, jurulatih dan kakitangan saya setiap masa.
“Sama ada kami menang atau kalah, saya sentiasa bersama mereka. Saya sentiasa menyokong mereka dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap apa yang berlaku, baik dari segi persembahan atau yang lain-lain di JDT.”