Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe dedah posisi yang sesuai untuk Liridon Krasniqi

Jurulatih Tan Cheng Hoe mendedahkan posisi yang paling sesuai untuk Liridon Krasniqi dalam skuad kebangsaan.

Terdapat cadangan bahawa Liridon boleh menggantikan peranan Brendan Gan yang tidak dapat beraksi menentang UAE dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kerana mengutip dua kad kuning.

Namun Cheng Hoe kurang bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Cara permainan Brendan adalah sangat berbeza kalau nak dibandingkan dengan Liridon,” katanya kepada NST.

“Mereka mempunyai cara permainan tersendiri tetapi apa yang paling penting adalah mereka berupaya untuk mengikut taktikal pasukan.

“Mereka berdua pemain tengah dan sebagai jurulatih agak sukar untuk membandingkan mereka.

“Saya cuma mahu pemain beri kerjasama dan berdisiplin. Itu aspek yang paling penting.”

Bagaimanapun, Cheng Hoe percaya Liridon mampu membantu Malaysia mencipta lebih banyak peluang di hadapan gol.

“Saya sudah kenal lama dengan Liridon ketika dia beraksi di Kedah dan corak permainannya sudah pasti mampu mencipta serangan ke kubu lawan dengan lebih sistematik.

“Jika diikutkan sememangnya kita kekurangan penyerang prolifik, namun jika meletakkan Liridon untuk posisi serangan, kita bimbang dia tidak akan beraksi cemerlang.

“Jadi lebih baik saya meletakkan di posisi sebenar, supaya Liridon mampu mengoptimumkan kemampuannya untuk skuad kebangsaan nanti.”