Tatkala percubaannya menerjah jaringan, Faiz Subri yakin ia satu permulaan untuk membina kariernya yang terbantut selama setahun.
Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan gol pertamanya bagi musim ini, sekaligus membantu pasukannya NLFC-Mahsa FC menewaskan Kerteh FC 2-0 untuk mara ke pusingan pertama Piala FA 2020.
Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2017, Faiz Subri mengakui dia agak bergelut untuk mencari kembali rentak permainan selepas satu musim tidak beraksi namun penantiannya beraksi apabila berjaya meledak gol pada minit ke-80 perlawanan.
“Ini memang permulaan positif untuk saya selepas menanti selama setahun untuk beraksi balik dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada ini untuk buat terbaik kepada pasukan.
“Ikutkan hati, memang rindu sangat nak turun padang dan bila dapat menjaringkan gol pada perlawanan pertama itu memang saya berasa sangat teruja dan ini akan jadi satu motivasi terbaik untuk saya perbaiki prestasi.
“Apa yang penting, saya tidak boleh terlalu selesa kerana ini baru permulaan dan memang saya berazam untuk terus mencuba menjaringkan seberapa banyak gol yang termampu untuk musim ini.”
Walaubagaimanapun, Faiz sedar masih banyak yang perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang.
“Pasukan ini masih perlu mencipta persefahaman yang lebih tinggi dan sebenarnya banyak lagi yang perlu diperbaiki selepas dinilai perlawanan pertama tempoh hari.
“Namun, untuk pusingan pertama ini kami tahu peluang adalah 50-50 dan perlu berusaha sebaik mungkin untuk mara ke pusingan kedua kerana misi pasukan ini adalah untuk berentap bersama pasukan lebih hebat daripada Liga Super atau Liga Premier.”
NLFC-Mahsa dijadualkan bertemu Harini KS FC dalam pusingan kedua Piala FA.