Malaysia Berita

Matyo dedah sebab sebenar beliau berhijrah ke Thailand

Norshahrul Idlan Talaha tampil menjelaskan mengapa beliau membuat keputusan untuk menyertai BG Pathum United.

Menerusi akaun rasminya di Instagram, pemain berusia 33 tahun itu menafikan sama sekali bahawa beliau mengejar gaji yang lumayan.

“Saya di Thailand bukan kerana gaji yang besar atau lumayan. Saya mencari pengalaman. Kalau nak gaji besar, baik saya duduk dan bermain di Malaysia.

“Anda fikir saya senang di sini? Saya ada tanggungjawab besar dan berat perlu dipikul. Tolong bagi saya ruang, saya tak minta disokong atau dikeji, dihina mahupun sebaliknya. Berhentikan!.

“Saya perlukan ruang untuk saya mencari rezeki. Doa baik-baik, cakap baik-baik. Insya-Allah semua kebaikan akan berlaku.

“Kerjasama kalian amat saya hargai. Hanya Allah dapat membalas kebaikan anda semua.”

Matyo beraksi buat pertama kali di Liga Thailand apabila diturunkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Muangthong United, Sabtu lalu.

Beliau beraksi di bahagian serangan sebelum digantikan pada separuh masa kedua, membantu BG Pathum meraih kemenangan 2-1.