Liga Super Malaysia Berita

Sabah kehilangan Maxsius Musa selama sebulan

Sabah kehilangan khidmat Maxsius Musa selama sebulan apabila pemain tengah itu mengalami kecederaan bahu ketika pasukannya bertemu Persija dalam Piala Gabenor Jawa Timur yang berlangsung di Indonesia.

Pemain berusia 26 tahun itu didapati terkehel bahu ketika bertembung dengan salah seorang pemain Persija dalam perlawanan separuh masa kedua dan terpaksa berehat selama sebulan.

“Selepas perlawanan itu, Maxsius mengadu sukar untuk mengangkat tangan kirinya kerana bahunya sakit,” kata pengurus Henry Soimpon kepada Stadium Astro.

“Kami kemudian membawanya ke hospital dan selepas ujian x-ray, doktor mengesahkan bahunya terkehel.

“Saya berharap pemain akan lebih berhati-hati selepas ini dan tidak terlalu mengikut emosi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.”

Sabah berada di tangga ketiga dalam Kumpulan B tanpa mengutip sebarang mata apabila tewas 2-0 kepada Arema dan 2-0 kepada Persija.

Sabah satu-satunya pasukan jemputan dari luar Indonesia yang menyertai Piala Gabenor Jawa Timur pada tahun ini.