Berita Asia Tenggara

Tiada wakil Malaysia dalam ACC2020

Persekutuan Bolasepak ASEAN mengesahkan tiada wakil Malaysia yang akan bertanding dalam Kejohanan Kelab AFF bagi edisi ketiga musim 2020, dan kali pertama diadakan sejak 2005.

Sebanyak empat pasukan akan berebut dua slot terakhir sebelum kejohanan dibahagikan kepada dua kumpulan, menjadikan setiap kumpulan terdiri daripada lima pasukan.

Kelab Thailand, Chiangrai United juga mengesahkan penyertaannya, meskipun turut terlibat dengan AFC Champions League sama seperti JDT.

Selain daripada liga domestik, Chiangrai juga perlu bertanding dalam saingan Piala Liga Thai dan Piala FA.

Terdapat enam pasukan yang terlibat dalam Piala AFC iaitu Ho Chi Minh FC, Bali United, Shan United, Tampines Rovers, Svay Rieng, Lao Toyota dan Ceres Negros.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini menyatakan terdapat dua faktor mengapa Malaysia tidak dapat menyertai kejohanan tersebut.

“Pertamanya, kami perlu menerima pengiktirafan rasmi daripada AFC sebelum menyertai ACC. Faktor keduanya, jadual kejohanan dilihat bertentangan dengan jadual liga dan tarikh latihan pusat skuad kebangsaan.”

JDT layak bertanding di peringkat kumpulan, namun Stuart berkata FAM mengutamakan kejohanan yang boleh mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat Asia.

“Dalam AFC Champions League, prestasi kelab sangat penting dan akan menentukan kedudukan pada musim depan. Jika berprestasi buruk, ia akan menjejaskan slot kami dalam jangka masa akan datang.

“Jika ACC membenarkan pasukan ketiga, keempat dan kelima liga untuk bersaing, maka ia akan memberi hala tuju pembangunan yang lebih baik. Selagi ia tidak melibatkan kelab yang sama bertanding tetapi lebih banyak perlawanan untuk kelab lain, itu akan menjadi satu inisiatif pembangunan berbanding daripada inisiatif komersial.”

ACC pernah dipertandingkan sebanyak dua edisi dengan pertama kali diadakan pada 2003 yang dimenangi oleh kelab India, Kingfisher East Bengal dan edisi kedua dimenangi oleh kelab Singapura, Tampines Rovers yang menewaskan Pahang 4-2 dalam perlawanan akhir.