Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan terpaksa menerima hakikat bahawa beliau perlu mempertaruhkan pemain muda untuk posisi bahagian pertahanan kiri pasukannya, selepas FAS dilaporkan tidak mempunyai dana untuk membawa masuk pemain berpengalaman.
“Ia berkaitan dengan kewangan, jadi saya perlu dengar apa yang pihak pengurusan beritahu saya,” katanya kepada Stadium Astro.
“Saya mahukan seorang pemain tetapi kalau kedudukan kewangan itu akan menjadi masalah, saya terpaksa ikut.”
Justeru, pemain pertahanan kiri Selangor II, Azrin Afiq Rusmini akan diserapkan ke skuad utama bagi menghadapi Liga Super selepas beraksi cemerlang dalam saingan Asia Challenge 2020 bulan lalu.
Namun, Sathia enggan memberi sebarang jaminan sama ada pemain itu akan selalu dipilih untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.
“Jangan fikir pemain di bawah umur 20 tahun ini akan terus menyertai skuad utama.
“Jika dia dipilih sekalipun, dia akan duduk di bangku pemain simpanan.
“Sebagai jurulatih, saya ada tanggungjawab yang besar.
“Jika saya beri pendedahan dan mereka tidak dapat bermain dengan baik, tahap keyakinan mereka akan menurun.”