Liga Super Malaysia Berita

Thierry Chantha Bin, Anthony Golec sertai Perak

Perak akhirnya melengkapkan senarai lima pemain import apabila menandatangani dua pemain Asia iaitu bekas pemain Terengganu, Thierry Chantha Bin dan pemain Australia iaitu Anthony Golec bagi saingan musim 2020.

Thierry Chantha Bin selaku pemain tengah Kemboja dijangka mengisi bahagian tengah, posisi yang ditinggalkan oleh Brendan Gan.

Anehnya, pemain berusia 28 tahun itu sudah pun menyertai kelab Thailand, Sukhothai FC pada bulan Disember lalu, selepas dua tahun beraksi di Terengganu.

Anthony Golec pula dijangka memperkuatkan pertahanan Perak yang ditinggalkan oleh Hussein El Dor, selepas Perak membuat keputusan untuk tidak menandatangani pertahanan Korea Selatan, Jeon Hyo-seok.

Pemain berusia 29 tahun itu pernah bermain di Sydney FC dan merupakan rakan sepasukan kepada Brendan Gan sejak musim 2008 sehingga memenangi A-League pada musim 2009 dan kekal sehingga musim 2011.

Golec kemudian menyertai pelbagai kelab di Australia antaranya Adelaide United, Western Sydney Wanderers, Perth Glory dan Central Coast Mariners.

Musim 2019, Golec menyertai dua kelab berbeza iaitu Wellington Phoenix dan kelab divisyen kedua Indonesia, Badak Lampung.

Kini, Perak mempunyai lima pemain import iaitu Guilherme de Paula, Careca, Leandro Dos Santos, Thierry Chantha Bin dan Anthony Golec.