Berita AFC Champions League

Kedah gagal layak ke AFC Champions League selepas tewas 4-1 kepada FC Seoul

Hasrat Kedah untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan AFC Champions League tidak kesampaian apabila tewas 4-1 kepada FC Seoul di Stadium Piala Dunia Seoul, petang tadi.

Walaupun Kedah bermain baik dalam 30 minit pertama perlawanan, pasukan itu terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Renan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-37.

Nasib malang Kedah berterusan apabila FC Seoul dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Park Chu-young pada minit ke-39, sekaligus pasukan tuan rumah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Baru beberapa minit separuh masa kedua, FC Seoul berjaya menambah gol kedua menerusi Park Dong-jin pada minit ke-49.

Namun, Kedah berjaya mengurangkan jurang gol apabila Osmar Barba menjaringkan gol sendiri pada minit 52, menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, Osmar menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga pada minit 63 perlawanan.

Ikram Alibaev merentap segala sisa-sisa harapan Kedah apabila menjaringkan gol keempat pada minit terakhir perlawanan.

Ini bermakna Kedah gagal melayakkan diri ke peringkat kumpulan AFC Champions League pada musim 2020.

Mereka akan meneruskan saingan musim baharu apabila akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim menentang JDT pada 28 Feb ini.