Liga Super Malaysia Berita

Perlis mahu kembali bersaing, tapi masih berhutang lebih RM1 juta

Walaupun Perlis berhasrat untuk kembali bersaing dalam liga kompetitif, mereka dilaporkan masih berhutang kira-kira RM1.3 juta, lapor NST.

Selepas disingkirkan daripada bersaing dalam Liga Premier kerana gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain musim lepas, FIFA menyekat pasukan Singa Utara daripada menandatangani pemain.

NST melaporkan, sebanyak US$17,400 (RM70,708) tunggakan gaji bekas pemain import Perlis, Valci Junior masih belum dibayar. Malah mereka perlu membayar tambahan US$78,300 (RM318,186) kerana melanggar kontrak.

Bukan itu sahaja, FIFA dilaporkan bakal mengenakan tindakan sekali lagi terhadap Perlis apabila gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pengarah bolasepaknya, Matt Holland.

Sumber mendedahkan Perlis diarah untuk membayar sebanyak RM200,000 selain perlu membayar kadar faedah sebanyak 5 peratus dalam tempoh 30 hari kepada Holland pada 25 Nov tahun lalu.

Perlis juga diarah untuk membayar pampasan sehingga RM798,658 termasuk kadar faedah 5 peratus kerana melanggar perjanjian kontrak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika bertemu media pada hari pelancaran Liga Malaysia 2020 berkata, Perlis sehingga kini masih belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemainnya.

“Mereka hanya dibenarkan bertanding semula setelah isu gaji pemain diselesaikan.”