Liga Premier Malaysia Berita

Shukor Adan, Indra Putra catat keputusan terbaik dalam ujian kecergasan

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa mendedahkan bahawa pemainnya yang berusia 30 tahun, Indra Putra Mahyuddin dan Shukor Adan yang berusia 40 tahun mencatatkan keputusan tertinggi dalam ujian kecergasan baru-baru ini.

Katanya, ia membuktikan dua pemain veteran tersebut masih boleh beraksi untuk saingan musim 2020 tanpa sebarang masalah, malah lebih cergas berbanding pemain yang lebih muda dalam skuad Kuala Lumpur.

“Kita hantar lapan pemain buat ujian kecergasan berdasarkan sains sukan dan keputusan terbaik adalah Shukor,” katanya kepada Berita Harian.

“Umur 40, tapi dia terbaik dan bagaimana nak kata umur seperti itu tak boleh main.

“Memang kita sentiasa bercakap mengenai umur dia 40 tahun, tapi persembahan dia lebih baik dari pemain lain. Indra pun sama, jadi takkan kita nak buang Indra.

“Kadang-kadang kita rasa pemain tua lebih baik dari yang muda. Pemain muda pergi buat ujian kecergasan pun ada yang tak lepas.”

Shukor yang baru sahaja menyertai Kuala Lumpur musim ini selepas meninggalkan Melaka United menjelaskan, beliau sering menjaga pemakanan dan melakukan latihan tambahan.

“Alhamdulillah saya sebenarnya tak pernah dapat kecederaan serius sepanjang kerjaya. Saya juga menjaga badan terutama dari aspek pemakanan dan minum air yang mencukupi.

“Satu lagi kita tak boleh mudah selesa dengan apa yang kita dapat, kerana jika kita mudah selesa, kita tak akan merasai nikmat sebenar dalam bola sepak.”

Shukor memulakan karier profesionalnya bersama Negeri Sembilan pada 2000, dan tahun ini merupakan tahun ke-20 dalam arena bolasepak negara.

Tahun ini juga merupakan tahun ke-18 buat Indra beraksi dalam liga bolasepak negara selepas dinaikkan ke pasukan utama Perak pada 2002.