Dollah Salleh bakal bergandingan dengan bekas jurulatih Pulau Pinang musim lepas, Ahmad Yusof yang dilantik sebagai penolong jurulatih baharu Pahang bagi saingan liga 2020.
Ia adalah satu keputusan luar biasa kerana Ahmad merupakan jurulatih berpengalaman, malah pernah mengendalikan Pahang pada 2007 sebelum mengendalikan Terengganu, Sime Darby, Pulau Pinang, Kedah dan Hanelang FC.
Ahmad sendiri juga merupakan bekas pemain Pahang pada zaman 1980-an.
Beliau menjadi penolong ketiga yang menyertai Dollah di Pahang, selepas dibantu oleh Zainal Abidin Hassan pada musim 2013-2014 dan Ahmad Shaharudin Rosdi pada musim 2017 sehingga 2019.
Pengalaman yang ada pada Ahmad mungkin dapat membantu Dollah mencari pemain baharu selepas ramai pemain meninggalkan pasukan pada musim lepas.
Pahang dapat mengekalkan Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, Azam Azih dan Herold Goulon berkemungkinan disebabkan masih ada baki kontrak.
Barisan serangan dilihat tempang selepas Norshahrul Idlan Talaha, Dickson Nwakaeme, Lazarus Kaimbi dan Saddil Ramdani meninggalkan pasukan selain Safuwan Baharudin yang menyertai Selangor, diikuti R Kogileswaran yang menyertai PJ City dan juga Zubir Azmi yang menyertai pendatang baharu Liga Super, Sabah.