Walaupun ramai pihak mengkritik penyertaan Selangor II dan Perak II dalam saingan Liga Premier musim ini, ada juga pihak yang tidak bersetuju jika dikatakan pasukan feeder akan menyebabkan liga divisyen kedua negara itu tidak kompetitif.
Jurulatih Pulau Pinang Manzoor Azwira Abd Wahid berkata kehadiran dua pasukan feeder baharu itu sebenarnya akan memberikan saingan lebih sengit selepas dua kali berdepan dengan JDTII musim lepas.
“Kami tidak pernah terfikir untuk beraksi acuh tak acuh, dan mengambil kesempatan dengan adanya empat pasukan ini, kerana sasaran kami tetap untuk memburu dua tangga teratas Liga Premier 2020.
“Sebenarnya ramai yang tidak tahu, pasukan pembangunan ini tidak berdepan tekanan terlalu tinggi, malah sentiasa diberi sokongan pasukan utama, jadi kami sebenarnya lebih tertekan untuk mengejar kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL.
Shahrom Kalam yang kini beraksi dengan Negeri Sembilan pula merasakan tidak adil untuk menyalahkan pasukan feeder yang dibarisi pemain muda kerana mereka tetap memberikan saingan yang hebat.
“Saya tidak bersetuju kalau nak kata saingan Liga Premier akan jadi tidak kompetitif musim ini, kerana sewaktu saya di Felcra FC, pasukan seperti JDT II khususnya mampu beri saingan kuat, menjadikan perlawanan yang amat sukar untuk kami.
“Tiada istilah jalan mudah untuk pasukan seperti kami di Negeri Sembilan dan skuad lain, kerana masing-masing tetap ingin memburu kemenangan demi kemenangan.
“Saya tahu situasi sebenar dalam saingan Liga Premier berdasarkan pengalaman saya bersama Felcra FC, selain melihat kepada kualiti yang ada dalam pasukan pembangunan ini, yang sentiasa menurunkan pemain-pemain hebat.”
Liga Premier bakal bermula pada hujung bulan Februari dan buat pertama kalinya akan dibarisi empat pasukan feeder iaitu JDTII, Terengganu II, Selangor II dan Perak II.
Disebabkan status pasukan pembangunan, mereka tidak layak untuk beraksi di Liga Super.
Jika keempat-empat pasukan tersebut mendapat empat tempat teratas, pasukan kelima dan keenam yang akan layak ke Liga Super.