Malaysia Berita

Liridon Krasniqi dan De Paula belum boleh beraksi lawan UAE dan Vietnam

FIFA dijangka membuat keputusan pada bulan ini, sama ada Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula benar-benar layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan beraksi dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya telahpun menyediakan dokumen lengkap untuk dinilai oleh FIFA.

“Pada kita nampak positif untuk diluluskan sebab itu kami hantar borang tersebut kepada FIFA. Semua dokumen yang diperlukan FIFA juga kita penuhi tetapi kita tak tahu mungkin dari segi pandangan FIFA ada yang tidak kena,” katanya kepada Sinar.

“Namun, keyakinan kami tinggi bahawa ia akan diluluskan dan kedua-dua pemain itu dapat bermain bersama pasukan kebangsaan nanti.”

Bagaimanapun Liridon dan De Paula masih belum boleh beraksi dalam perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand kerana mereka hanya boleh didaftarkan bermula pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Di saingan liga, Liridon dan De Paula sudah boleh didaftarkan sebagai rakyat Malaysia.

“Jika sudah lepas (di peringkat) FIFA, kami akan daftarkan kerakyatan mereka. Kami juga sudah bersedia dengan segala dokumen untuk diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia.”

Liridon yang berasal dari Kosovo sudah beraksi lima tahun di Malaysia, empat tahun di Kedah dan setahun di Melaka United.

Manakala Guilherme de Paula yang berasal dari Brazil pula beraksi di Selangor selama setahun, PDRM selama setahun dan Kuala Lumpur selama tiga tahun.