Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe pilih Bahrain

Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Bahrain sebagai persiapan menghadapi UAE dan Vietnam pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Katanya, faktor perjalanan dan perbezaan waktu menjadi punca Bahrain menjadi negara yang paling sesuai untuk mengadakan perlawanan.

“Saya dimaklumkan oleh sekretariat FAM yang Palestin ada menerima undangan untuk aksi persahabatan sebelum kita lawan dengan UAE,” kata Cheng Hoe kepada Arena Metro.

“Malah, daripada lima permohonan itu yang kita turut bagi kepada Bahrain, Arab Saudi, Oman dan Qatar, saya diberitahu Bahrain juga sedia berjumpa kita.

“Jadi selepas mengambil kira semua aspek termasuk soal jarak waktu dan jarak Palestin dengan UAE, saya putuskan untuk menentang Bahrain.

“Kita juga mungkin hanya lawan satu pasukan kerana saya mahu beri rehat secukupnya kepada pemain kerana selepas menentang UAE kita akan bertemu Vietnam pula lima hari kemudian.

“Risiko kecederaan juga antara perkara yang saya bimbang kalau dua perlawanan persahabatan kemungkinan boleh mengundang masalah kecederaan.”

Pada masa sama, Cheng Hoe juga menganggap Bahrain mempunyai kualitinya tersendiri dan berharap anak buahnya dapat mempelajari sesuatu ketika pertemuan tersebut.

“Jurang antara Bahrain dan UAE tidak jauh, jadi saya percaya Bahrain akan memberi apa yang kita mahukan sebagai persediaan terbaik untuk kita.”