Liga Super Malaysia Berita

Gaji masih tertunggak, Fauzi Roslan kini terpaksa kerja sambilan

Satu masa dahulu, Fauzi Roslan merupakan seorang penyerang yang digemari ramai namun beliau kini terpaksa bekerja secara sambilan untuk menyara keluarganya akibat tidak menerima gaji daripada Kelantan FA.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, walaupun Kelantan membuat keputusan untuk tidak menawarkan kontrak baharu, dia masih belum menerima tunggakan gajinya yang bernilai lebih RM60,000.

Fauzi hanya menerima beberapa bulan gaji daripada Januari hingga Julai lalu.

“Saya tidak berniat mahu mengaibkan Kafa atau mana-mana pihak, sebaliknya saya hanya mahu minta hak saya,” katanya kepada Arena Metro.

“Apatah lagi, saya perlu menanggung keluarga termasuk dua anak berusia sembilan dan enam tahun yang bersekolah.

“Saya kini bekerja sambilan di kampung di Pahang bagi menampung perbelanjaan harian keluarga dan komitmen lain sementara menunggu panggilan dari mana-mana pasukan lain.”

Fauzi juga mendedahkan, dia sudah banyak kali merayu kepada pihak pengurusan termasuk menghantar surat tuntutan bayaran tunggakan gaji menerusi emel kepada KAFA namun masih tiada sebarang maklum balas.

“Difahamkan, masalah tunggakan gaji itu membabitkan pemain yang tidak disambung kontrak. Bagi pemain yang kekal bersama Kelantan, saya tidak pasti sama ada mereka sudah dibayar gaji penuh atau tidak.

“Saya akan melanjutkan perkara jnj kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bola Malaysia (FAM) bagi menuntut hak pemain.”

Fauzi merupakan salah seorang pemain Kelantan yang masih menunggu bayaran gajinya.

Sebelum ini Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah turut meminta KAFA melangsaikan gaji mereka.