Musim 2020 akan bermula dalam masa dua bulan sahaja lagi, namun kebanyakan pasukan Liga Super sudah pun bertindak pantas menandatangani pemain yang diingini, termasuklah beberapa nama besar dalam bolasepak tempatan.
Dari Terengganu hinggalah ke Johor Bahru, Football Tribe menyajikan 10 senarai pemain yang dilihat bakal memberi impak besar pada musim hadapan.
Kpah Sherman, Dari PKNS ke Kedah
Pemain antarabangsa Liberia tampil dengan cukup hebat pada musim 2019 apabila menjaringkan gol paling banyak ketika beraksi untuk PKNS di Liga Super dengan 14 gol sekali gus menamatkan musim sebagai pemenang Kasut Emas.
Namun disebabkan PKNS telah bertukar status kepada Reserve Team kepada Selangor dan perlu beraksi di Liga Premier musim depan, Kpah membuat keputusan untuk menyertai Kedah.
Ia dianggap perpindahan besar apabila Kedah membuat keputusan berani untuk membawa penyerang berkaliber seperti Kpah, selepas tidak menawarkan kontrak baharu kepada Fernando Rodriguez.
Akram Mahinan, Dari PKNS ke Kuala Lumpur
Akram merupakan seorang lagi pemain PKNS yang membuat keputusan mengejut apabila menyertai Kuala Lumpur yang baru sahaja tersingkir ke Liga Premier musim depan.
Pemain berusia 26 tahun itu juga merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang muncul naib juara dalam Piala AFF Suzuki 2018 di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, apabila muncul sebagai pemain yang paling banyak membuat hantaran.
Dalam temuramahnya baru-baru ini, Akram berkata beliau tidak kisah menyertai KL dan beraksi di Liga Premier kerana beliau menganggapnya sebagai satu cabaran buatnya untuk kembali pada prestasi terbaik.
Kipre Tchetche, Dari Terengganu ke Kedah
Kipre merupakan seorang penyerang penting buat Terengganu namun apabila beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Kedah, ia satu perpindahan yang mengejutkan.
Malah, pemain berusia 32 tahun itu sudah beraksi selama lebih dua tahun bersama Terengganu dan menjaringkan begitu banyak gol terutamanya ketika final Piala Malaysia 2018.
Perpindahan tersebut dilihat sebagai cubaan Kedah untuk menggabungkan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche bagi mencabar kejuaraan Liga Super yang sudah enam tahun dipegang oleh JDT.
Brendan Gan, Dari Perak ke Selangor
Salah satu perpindahan yang paling dinanti-nanti apabila Brendan Gan diumumkan sebagai pemain baharu Selangor.
Brendan diminati begitu banyak pasukan Liga Super apabila beliau tampil dengan aksi cemerlang terutamanya ketika menyarung jersi skuad kebangsaan dan menjaringkan gol penyamaan menentang Thailand, sekaligus membantu Malaysia menang 2-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Pemain berusia 31 tahun itu kemudian mendedahkan beliau tidak bersetuju dengan kontraknya di Perak dan beliau akhirnya membuat keputusan untuk menyertai Selangor.
Faiz Nasir, Dari Selangor ke Terengganu
Penghijrahan kembali ke Terengganu dianggap bagai sirih pulang ke ganggang. Selepas hanya setahun berada di Selangor, Faiz kembali ke negeri Pantai Timur.
Sepanjang semusim di Selangor, Faiz beraksi dengan cukup baik dan sering menjaringkan gol penting termasuk debut skuad kebangsaan dalam saingan Piala Airmarine serta membantu menewaskan Timor Leste 7-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2022.
Namun, disebabkan cara permainan Faiz mungkin tidak sesuai dengan corak permainan B. Sathiananthan, dan ditambah dengan rancangan Selangor yang membawa masuk Brendan Gan, beliau berkemungkinan akan hilang tempat sekali gus membuat keputusan untuk berhijrah.
Safuwan Baharudin, Dari Pahang ke Selangor
Seorang pemain Singapura yang tidak cukup asing lagi di Malaysia apabila sering menjadi pemain utama dalam setiap pasukan yang disertai.
Selama dua musim di Pahang, beliau berjaya meraih kejuaraan Piala FA.
Namun di penghujung musim 2019, Safuwan memberitahu beliau telah dilepaskan oleh Pahang walaupun masih ada kontrak, dan beberapa hari kemudian beliau menyertai Selangor.
Guilherme de Paula, Dari Kuala Lumpur ke Perak
Guilherme de Paula juga merupakan seorang penyerang berbisa dan bakal menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi.
Ketika di KL, De Paula beraksi sebanyak 57 kali dan menjaringkan 48 gol.
Beliau dilaporkan hampir menyertai JDT, namun Perak membuat tindakan pantas menandatangani pemain berasal dari Brazil itu.
Liridon Krasniqi, Dari Melaka ke JDT
Liridon merupakan salah seorang pemain terbaik Kedah dan memenangi Liga Premier pada 2015, Piala Malaysia pada 2016 dan Piala FA pada 2017.
Namun pemain berusia 27 tahun itu bergelut dengan kecederaan ketika beraksi di Melaka United.
Beliau kemudian dilihat sedang mengadakan sesi latihan di JDT, sebelum diumumkan sebagai pemain baharu Harimau Selatan.
TMJ memberitahu komitmen tinggi yang ditunjukkan Liridon menjadi salah satu faktor JDT menandatangani Liridon.
Amin Nazari, Dari Ratchaburi ke Kedah
Pemain antarabangsa Filipina ini dilihat sebagai pemain penting buat Kedah bagi mengisi kekosongan yang telah lama ditinggalkan oleh Akram Mahinan.
Dilahirkan di Sweden tetapi membuat keputusan untuk beraksi dengan negara kelahiran ibunya Filipina, sementara abangnya Omid beraksi dengan negara kelahiran bapanya Iran.
Selepas membantu Ratchaburi menamatkan saingan Liga Thailand di tangga ke-8, Amin membuat keputusan untuk berhijrah ke Kedah dalam misi untuk layak ke AFC Champions League.
Dominic Tan, Dari JDT ke Police Tero
Setelah dipinjamkan ke kelab Thailand, Police Tero selama semusim, Dominic membuat keputusan untuk menyertai kelab itu secara rasmi.
Dominic merupakan salah seorang pemain berbakat dari Harimau Muda, dan menyertai JDT pada 2016.
Mungkin disebabkan saingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama JDT, Dominic mengambil cabaran untuk berhijrah ke Thailand.