Liga Super Malaysia Berita

Frank Bernhardt jurulatih baharu UiTM

Bekas jurulatih skuad kebangsaan B-23, Frank Bernhardt dilaporkan telah menyertai UiTM sebagai pengendali baharu bagi menghadapi saingan Liga Super.

Walaupun pasukan universiti itu tidak mengumumkan secara rasmi, jurulatih berbangsa Jerman muncul dengan memakai baju UiTM ketika mengadakan perlawanan persahabatan bersama Pulau Pinang baru-baru ini.

Jurulatih itu menggantikan Ismail Zakaria yang membuat keputusan untuk menolak tawaran kontrak baharu daripada UiTM kerana tidak bersetuju dengan perancangan pihak pengurusan untuk musim depan.

Ismail mahu membawa masuk beberapa pemain profesional sebagai tunjang pasukan namun hasratnya enggan diterima UiTM kerana mereka mahu pasukan tersebut dibarisi sepenuhnya oleh pelajar universiti tersebut dan dibantu oleh beberapa pemain import.

Mungkin Bernhardt lebih terbuka untuk menerima tawaran dari UiTM memandangkan latar belakang beliau yang gemar mengenengahkan pemain muda yang berbakat.

Namun ia satu cabaran berat buat UiTM untuk memberi saingan yang baik serta mencapai objektif iaitu kekal di Liga Super.