Salah seorang naib juara Piala AFF Suzuki 2014, Zubir Azmi bakal menyertai Sabah bagi musim 2020.
Ia dilihat sebagai satu kejutan apabila pemain pertahanan berusia 28 tahun itu dilihat sedang menjalani latihan bersama skuad Tambadau di Kota Kinabalu.
Namun, Zubir sendiri mahu terus beraksi di Liga Super, selepas tiga tahun bersama Pahang.
Sabah pula dinobatkan sebagai juara Liga Perdana, sekali gus layak beraksi di Liga Super secara automatik musim depan.
“Saya akan merindui suasana di Stadium Darul Makmur dan sokongan peminat. Saya mahu memenangi lebih banyak piala, kita sudah mencuba tetapi tidak kesampaian. Saya berterima kasih kepada Dollah Salleh yang beri peluang saya menyarung jersi Pahang.
“Saya harap dapat terus beraksi di Liga Super, saya sudah dapat beberapa tawaran dan sedang mempertimbangkannya.” Kata Zubir kepada The Star.
Sepanjang di Pahang, Zubir meraih Piala FA pada 2018 manakala tahun ini Pahang menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua dan tewas separuh akhir dalam Piala FA dan Piala Malaysia.