Kedah secara rasminya membawa masuk Amin David Lazarte Nazari sebagai pemain import kelima buat Lang Merah bagi saingan musim depan.
Perjalanan Amin boleh dikatakan agak jauh, berhijrah dari tempat kelahirannya Malmo yang terletak di selatan Sweden, kini menetap di Kedah.
Namanya juga berbunyi agak Melayu kerana bapanya berasal dari Iran manakala ibunya pula dari Filipina.
Sejak usia lima tahun lagi, Amin mengikut jejak langkah abangnya Omid untuk beraksi dengan kelab Malmo FF, kelab yang melahirkan Zlatan Ibrahimovic 20 tahun lalu.
Kedua-dua adik beradik Nazari mahu mewakili Sweden, tetapi mereka akhirnya membawa haluan masing-masing.
Omid memilih untuk beraksi dengan Iran manakala Amin memilih Filipina.
Omid juga hampir beraksi di Melaka pada musim 2017 tetapi kontraknya dibatalkan sebelum liga bermula. Beliau kini beraksi di Persib Bandung.
Amin pula jauh lebih bertuah, beliau sering terpilih untuk mewakili Sweden Bawah 17, Bawah 19 dan Bawah 21, namun tidak dapat menembusi skuad kebangsaan senior.
Akhirnya tahun lalu, Amin membuat keputusan untuk mewakili Filipina, negara kelahiran ibunya.
Beliau juga memilih untuk menandatangani kontrak bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC selepas bertahun-tahun beraksi di liga Sweden. Mungkin mudah untuk Amin mewakili kelab dan negara.
Ini kali pertama Amin beraksi di liga Malaysia dan pengalamannya dilihat mampu membantu Kedah mengharungi saingan musim depan.