Pengendali sementara Arsenal, Freddie Ljungberg percaya dia mempunyai ramuan buat The Gunners untuk kembali mendapatkan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Arsenal gagal mendapatkan sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan sebelum ini.
Ahad lepas, Arsenal diikat oleh pasukan di tangga kedua tercorot liga, Norwich City 2-2 di Stadium Carrow Road. Dua gol yang dijaringkan oleh ketua pasukan, Pierre Emerick Aubameyang berjaya menyelamatkan skuad The Gunners daripada terus diaibkan.
Ljungberg percaya barisan pertahanannya mampu untuk membuktikan sesuatu. Untuk rekod, Arsenal bolos dalam 10 perlawanan sebelum ini dan hanya mampu mencipta lima rekod tanpa bolos dalam semua kejohanan setakat ini.
‘Tiada masalah dengan kebolehan secara teknikal buat barisan pertahanan. Tetapi mereka perlu mengelakkan diri untuk bersaing dari segi kepantasan larian’, tegasnya lagi.
Bekas tonggak utama Arsenal itu juga yakin pasti ada jalan penyelesaian dalam masalah yang dihadapi. ‘Saya sudah tonton (perlawanan menentang Norwich City) dua kali. Kami menyerang dengan baik diawal permainan. Tetapi kami gagal untuk bermain dengan baik di barisan pertahanan’, ujarnya.
Arsenal akan menjadi tuan rumah kepada Brighton and Hove Albion awal pagi esok. Berdasarkan statistik pertemuan dua pasukan ini, Brighton masih belum pernah mencatat sebarang kemenangan dalam 19 pertemuan secara keseluruhan sebelum ini.
Sementara itu, penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette telah menjaringkan 12 gol daripada 13 penampilannya di Stadium Emirates pada musim ini.