Malaysia Liga Super Malaysia

Selangor II bakal beraksi di Stadium Selayang

Selangor II dijangka menggunakan Stadium Selayang untuk saingan Liga Perdana musim depan.

Sebelum ini, PKNS FC menggunakan Stadium Shah Alam dalam saingan Liga Super.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan Stadium Selayang dipilih supaya pasukan Selangor boleh didekati oleh peminat dari seluruh negeri, bukan di Shah Alam semata-mata.

“Kami rasa kena memperkembangkan lagi serta menjangkau pengaruh penyokong kami di destinasi lain serta cuba mendapatkan penyokong baharu di lokasi lain.

Kredit Foto: Football Tripper

“Sekurang-kurangnya masyarakat di sana dapat menikmati bola sepak Selangor dan tidak terlalu tertumpu di sesuatu tempat sahaja seperti mana di Shah Alam.

“Antara calon utama yang kami sedang pertimbang kini ialah Stadium Selayang dengan tujuan cuba dekatkan diri lagi dengan peminat bola sepak Selangor di Gombak, Ampang, Selayang serta kawasan-kawasan di sekitarnya, ” katanya.

Pada 13 Nov lalu, MFL meluluskan permohonan FAS untuk menukar status PKNS FC sebagai Reserve Team.

Selangor dijangka menyenaraikan hampir semua produk pemain muda daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia selain daripada PKNS FC serta pemain import.

Kehadiran pemain senior dan import akan menyediakan persekitaran yang lebih kompetitif buat pemain muda Selangor.

Selangor menamatkan musim 2019 di tangga ketiga Liga Super manakala PKNS FC berada di tempat ke-10 liga namun akan memulakan musim 2020 di Liga Perdana selepas menjadi reserve team.