Malaysia Liga Super Malaysia

Dominique Da Sylva ganti Kipre Tchetche

Dominique Da Sylva diumumkan sebagai penyerang import baharu Terengganu, bagi menggantikan Kipre Tchetche yang berhijrah ke Kedah untuk musim 2020.

Pemain berasal dari Mauritania itu menandatangani kontrak di Kuala Terengganu semalam, sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim dan pengurus Terengganu, Shahrizal Yahaya.

Pemain berusia 30 tahun itu beraksi dengan kelab Vietnam, Sai Gon musim lepas, selepas berkelana semusim dengan sebuah lagi kelab Vietnam, Ho Chi Minh City.

Dominique yang juga pernah beraksi bersama kelab besar di liga Mesir iaitu Al-Ahly dan Zamalek bakal menyarung jersi bernombor 11.

Menurut laman sesawang rasmi Terengganu FC, Dominique yakin kemasukannya dapat memberi impak yang besar buat pasukan Pantai Timur itu.


Dominique mengakui beliau kurang mengetahui berkenaan saingan liga di Malaysia tetapi beliau melihat Terengganu mempunyai misi tersendiri untuk memburu kejuaraan dalam liga.

Dominique juga dilihat tidak sabar untuk bertemu dengan penyokong Terengganu pada musim ini.

Selain Dominique, Terengganu mempunyai seorang lagi pemain import iaitu Lee Tuck manakala Thierry Chantha Bin tidak disambung kontrak baharu.