Kolum Eropah

Flick mengorak langkah bersama Bayern

Bayern Munich kembali memberi tekanan kepada pasukan pendahulu Bundesliga, Borussia Monchengladbach selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 keatas Fortuna. 

Buat pertama kalinya bagi musim ini, Robert Lewandowski gagal meletakkan namanya dalam senarai penjaring perlawanan. Empat gol Bayern disumbangkan oleh Benjamin Pavard, Corentin Tolisso, Serge Gnabry, dan Philippe Coutinho.

(Photo by Lars Baron/Bongarts/Getty Images)

Penyandang juara Bundesliga itu yang mendapat sentuhan ketua jurulatih sementara, Hans Dieter Flick semakin positif dengan keputusan yang diperolehi. 10 jaringan telah dihasilkan dalam tiga perlawanan dibawah kendalian Flick dan masih mengekalkan rekod tanpa bolos.

Pada aksi saingan Bundesliga pertama dibawah bimbingan Flick, Bayern menumbangkan Borussia Dortmund 4-0 yang mana menyaksikan Bayern menguasai keseluruhan permainan. Perkara yang sama berlaku pada perlawanan menentang Fortuna apabila anak buah Flick mendominasi serangan dengan mencipta 17 percubaan kearah gol.

Dalam pada itu, pemain tengah berpengalaman, Thomas Muller menyifatkan Hans Dieter Flick sebagai seorang pengendali yang mempunyai perancangan. Walaupun, Flick menggunakan barisan kesebelasan utama yang berbeza, tetapi mereka tetap mempunyai semangat juang yang sama.

Corak taktikal yang digunakan oleh Flick tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan corak taktikal Niko Kovac. Formasi 4-1-4-1 atau 4-2-3-1 akan diguna pakai secara bergilir-gilir bagi mengelirukan pihak lawan.

Bayern akan bertandang ke Red Star Belgrade pada awal pagi Rabu ini bagi meneruskan saingan Liga Juara-Juara Eropah. Setakat ini, Bayern kekal cemerlang dengan mencatat empat kemenangan bersih dalam empat perlawanan.